Azhar Hashim
Assalamu'alaykum warahmatullah,

Alhamdulillahi robbil 'alameen. Hanya pada Mu Ya ALLAH terhimpun segala pujian pujian yang hanya layak bagi Mu, Tuhan Penguasa dan Pentadbir alam ini, yang telah menjadikan tujuh petala langit dan bumi dalam enam masa. Maha Suci Engkau dari segala sifat sifat makhluk yang lemah dan binasa. Engkaulah Yang Awal dan Engkaulah Yang Akhir. Selawat dan salam ke atas Nabi pilihan Mu, Muhammad s.a.w. ahlil bait dan para sahabat r.anhum.

Semalam aku terpana dengan komentar seorang blogger yang amat aku hormati tentang tindakannya dalam menjaga agama yang ada padanya dengan mengkesampingkan perkara yang menjadikannya  terleka dgn dunia dan menghalang akan cinta dan ketaatannya kepada Ilahi.  Sungguh apabila ALLAH berkehendakkan, maka diperkuatkan iman seseorang itu dan dipermudahkan baginya untuk meninggalkan apa apa sahaja yang menjadi penghalang antaranya dgn ALLAH SWT hatta perkara itu sekadar menjadi penghalang atau sekadar membuatnya lagho dari mengingati ALLAH. Sungguh beruntunglah dia dengan kurniaan itu dan aku tumpang tumpang sama moga moga ada percikan hidayahNya terpercik pada ku jua..

Bila hidayah sudah tiba, maka kerajaan yang hebat, mahkota bergermerlapan pun telah ditinggalkan oleh Ibrahim Adham untuk menjalani hidup sebagai hamba Tuhan yang hakiki, Harta melimpah ruah habis diinfaqkan pada jalanNya tatkala hidayah sudah membekas di hati Abu Bakar as siddiq, Khadijah bt Khuwailid r.a. dan ramai lagi.

Aku ada menonton di tv seminggu dua yang lalu tentang restoran Cina Muslim, pemiliknya seorang reverted muslim berasal dari agama kristian khatolic. Setelah beliau mendapat Islam, dgn jalan mujahadah beliau mengislahkan dirinya, berubah dari cara hidup kafir kpd cara hidup Islami, namun bagitu, ada satu tabiat yg begitu mengcengkamnya iaitu.minum arak. Di kaca tv sendiri dgn wajah bersinar dan tampak ketenangan beliau menyingkap dan berkongsi akan rahmat ALLAH ke atas beliau. Menurutnya, setelah sembilan tahun memeluk Islam, beliau masih lagi meminum arak! Yang satu ini beliau tak mampu nak lawan! Namun apabila ALLAH berkehendak, asbab dari usaha dan ikhtiar yg tak putus putus untuk meninggalkan tabiat buruk ini, maka beliau telah diberi kesempatan oleh ALLAH untuk mengerjakan Umrah, di hadapan Ka'abah yang mulia beliau merintih memanjatkan do'a serta rayuan pada Yang Maha Esa agar dibeikan kekuatan utk beliau meninggalkan arak dari hidupnya. Maka ALLAH telah memakbulkan do'anya itu, sejak dari itu, dia berjaya meninggalkan tabiat buruknya meminum arak. ALLAH telah membantunya dan mencampakkan rasa benci pada arak itu dalam dirinya. Kini telah lebih 30 tahun beliau tak lagi menyentuh arak, mudah mudahan hingga menutup mata sehinggalah sampai masa yang dikehendaki olehNya kelak untuk menikmati arak di SyurgaNya  insyaALLAH! Sungguh beruntunglah dia!


Romadhon lalu

Ada satu kisah yang berlaku pada romadhon yang lepas yang mana ALLAH telah menunjukkan kekuasaan dan kepemurahanNya pada insan insan yang Dia kehendaki. Kisahnya berlaku pada malam ke 27 Romadhon 1431H.

Malam itu masjid mengadakan majlis khatam Qur'an sebagai mengzahirkan kesyukuran sempena selesai mengkhatamkan 30 juzk al-Qur'an, alhamdulillah. Maka seusai solat Tarawikh dan tazkirah, majlis pun bermula yang mana kemudiannya diikuti dengan doa khatam Qur'an. Do'a dibaca melalui speaker masjid dan didengari kariah yang berdekatan sepertimana lazimnya. Namun dengan kehendakNya Yang Maha kuasa, suara itu didengari oleh orang tertentu pada jarak yang tak mungkin sampai pada hari kebiasaannya, iaitu berhampiran sebuah Pasaraya yang mana kaki limanya sibuk dengan aktiviti berjual beli dengan hiruk pikuk serta kenderaan lalu lalang. Dalam keadaan biasa, sememangnya suara azan tak kedengaran di situ, apatah lagi dalam keadaan sibuk nak menyambut raya begitu, memang tenggelam suara dari masjid itu.Namun ALLAH Maha Berkehendak dan Dia berkehendakkan yang sebaliknya untuk seorang insan, insan yang istimewa !!

Seorang insan sedang memilih pakaian utk hari raya.. "Bang! Abg dengar tak tuh? Doa tu.. suara tu!! Abg dengar tak??"

"Suara apa? Doa apa?"  ...balas sang suami..

"Eh! Dah lama tak dengar do'a macam nih.. dulu ada dengar di Mesir je bang!"

Dengar di Mesir je? Yer.. insan ini adalah merupakan lulusan al Azhar Mesir .. layak utk dipanggil ustazah!

Di Masjid doa dibacakan dgn irama syahdu, bertarannum dgn tarannum Nahawand ... sayu dan menitislah airmata dgn rahmatNya jua..

Selesai sudah majlis, sudah melampau jam 12 malam .. melangkah lah nak balik, di pintu luar Masjid, ada seorang wanita menanti di luar pintu Masjid, kelihatannya seperti mencari seseorang..

"Mmm..Assalamu'alaykum..saya rasa..ustaz ni yang membaca Qur'an dan do'a tadi??" sapa nya..

"Err..Wa'alaykumussalam warahmatullah.. ye banar.. saya tadinya yang membacanya... err..kenapa puan tanya? "

Dengan mata yang berkaca kaca, wanita yang ber tshirt paras lengan, hugging type dan seluar sendat mula berceritakan betapa dia merindukan bacaan yang syahdu begitu.. yang dia dahulunya belajar di al-azhar biasa mendengar bacaan seperti itu.. ketika mengikuti bait bait do'a yang dibacakan amat menyentuh hatinya. Dia seakan tersedar dari lamunan yang panjang betapa dia jauh dari ALLAH kini. Keinginannya tadi untuk membeli belah sudah tumpul dan tiada lagi setelah mendengarkan bacaan Al-Qur'an dan doa yg didoakan. Lantas dia meminta suaminya untuk fokus dan mendengarnya tapi seolahnya dia memang tak dapat mendengarnya, seakan ada sumbatan barangkali. Dilihatkan orang ramai juga tak ada yang mengambil kisah atau kah mungkin mereka juga tak mendengarnya..mungkin hanya dia seorang sahaja yang mendengarnya!

"Ustaz, saya dulu hafizah..30 juzk saya hafal, tapi kini...." untaian dan juraian airmata tak terbendungkan lagi terus mengalir deras membasahi pipi pada malam 27 Romadhon ..malam yang penuh Barokah...

"Habis..kenapa jadi macam nih? Apa yg telah berlaku?"

"Saya jadi macam ni setelah saya berkahwin ustaz... ini semua salah suami saya...dia tak pernah menggalakkan malah dia menyesatkan saya seperti ini pula... saya tenggelam dalam kemewahan ustaz"

Dijeling pada kereta yang tinggal di perkarangan Masjid, hanya ada sebuah kereta Mercedez Sports dua pintu..mmm tu keretanya barangkali... ntah ada atau tidak suaminya dalam kereta itu.. Mmm..memang bergaya, rambut ada kaler kaler..pakaiannya pun buleh tahan, beg tangan nampak jenis mahal ... Namun, tatkala hidayah ALLAH terpanah ke dalam hatinya, tiada yang dia nampak melainkan ALLAH ALLAH ALLAH ... tidak dipedulikan mata yang melirik lirik padanya, seorang wanita anggun berdiri di pintu Masjid tanpa menutup aurat sempurna, matanya meliar mencari cari sesuatu atau seseorang, taqdirnya pula tiada yang menghalang mahupun menegur, masing masing melintasinya untuk pulang segera ke rumah atau ke tempat lain.

"Usah disalahkan suami atas perkara yang sebegini, memang suami salah, tapi untuk diri puan sendiri, puan diberi PILIHAN oleh ALLAH untuk memilih, tiada paksaan dalam hal ini, dan puan telahpun membuat pilihan puan ketika berkahwin dengannya dan mengikut perintahnya selama ini.." ...

Diam ...

"Puan masih boleh berbahasa Arab?"

"InsyaALLAH saya masih memahaminya... Kitab kitab saya dulu saya letak dalam sebuah peti dan masih dalam keadaan baik dalam simpanan saya. Saya ada melanggan majalah majalah dari timur tengah serta buletin al azhar dsbnya..."

"Sekarang puan, pilihan di tangan puan, puan bukan org jahil dan ALLAH telah memilih puan malam ini untuk menerima hidayahNya, inilah hadiah Romadhon bagi puan, malam inilah Malam Al-Qadr bagi puan! Segeralah beramal dgn apa yang puan tahu....pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk puan dan kita semua selagi masih bernafas dan selagi Sang Mentari tidak terbit dari barat"

Begitulah selingkar kisah yang ALLAH tunjukkan pada malam itu untuk beberapa insan yang Dia pilih. Wanita itu menceritakan dia berdiri di luar sahaja lantara menghormati Masjid atas pakaiannya yang tidak sesuai sambil mengharapkan ustaz berkenaan keluar melalui pintu itu. Masjid ada pintu di ke empat empat penjurunya, boleh sahaja ustaz keluar ikut pintu yang lain sementelah pula pintu yang dipilihnya adalah pintu yg mana menuju ke ruang parking kenderaan paling kecil. Kalau diikutkan maka pintu yg menghala ke tempat parking yang luar itulah lebih ramai orang guna apatah lagi di situ juga terdapat tempat parking khusus untuk tuan guru atau penceramah jemputan. Namun ALLAH telah menggerakkannya untuk menanti di pintu yang bakal dilalui oleh orang yang dia cari.

Taqdir ALLAH juga mengetarkan dirinya tatkala ternampak ustaz yang dicari carinya, si pembaca Qur'an dan do'a yang didengarinya tadi. Padahal ramai telah lalu lalang di hadapannya, dan taqdirNya pula si ustaz keluar lambat, namun tekaan kali pertamanya terus mengena tepat ke sasaran. Itu semua kerja ALLAH belaka, bila Dia berkehendak, maka tak ada satu kuasa pun yang dapat menghalangkan, bila ALLAH telah memutuskan sesuatu, maka tak ada mana mana kuasa pun (memang tiada kuasa selain dariNya) yang dapat mencegah!

Begitulah dunia ini dapat memesongkan hati insan yang terpelajar sekalipun. Tiada jaminan sekiranya kita baik pada hari ini maka akan baik selamanya... marilah kita berlindung pada Yang Maha Esa memohon agar ditetapkan iman, dijauhkan dari fitnah Dajjal dan Fitnah akhir zaman, ditetapkan kaki kaki kita di atas jalanNya yang lurus...

Laa haula wala quwwata illah billahil 'aliyyil adzhim...


p/s: Dua tiga hari lepas.... pertemuan kedua berlangsung lagi dalam suasana yang berbeza... moga ALLAH beri kekuatan untuk ku menulis lagi insyaALLAH ... Engkau lah Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Engkau jua menerima taubat hamba hamba Mu yang berdosa... Subhanallah...
0 Responses

Post a Comment