Ibnu Hashim
Sekitar Lailatul Qadar
Malam Teristimewa


Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Ab Rahman

(Artikel ini diterbitkan di METRO AHAD 8 Oktober 2006 dalam versi lebih ringkas)

Web : www.zaharuddin.com

Group : http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin/

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT : Ertinya : “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Al-Qadr : 2) . Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beridabat melebihi malam-malam lain. Tersebut di dalam hadith . Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها )البخاري, ومسلم (

Ertinya : “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)


حديث عائشة رضي الله عنها أن النبي صلى الله عليه وسلم " كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره " البخاري (1920) ومسلم (1174) زاد مسلم وجَدَّ وشد مئزره .

Ertinya : “ Apabila telah masuk bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)



Keistimewaanya

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ; justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai’d Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.

2) Di tuliskan pada malam tersebut “qadar” atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu. Syeikh Dr Saleh Al-Munajjid berpendapat bahawa pada malam itu, dipindahkan dari Qadar manusia dipindahkan dari lawh mahfudz. Hal ini dapat difahami melalui ayat surah al-Dukhaan ayat 1 hingga 6 menurutnya. Justeru, seeloknya kita menghidupkan malam ini dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita. Demikian juiga difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. ( Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat. Perlu difahami bahawa para ulama menyebut bahawa seribu bulan yang dinyatakan dalam ayat quran ini bukanlah bermaksud ‘tahdid’ atau menghadkan ganjarannya kepada ‘seribu’, tetapi ia sebenarnya bermaksud satu pergandaan yang tidak terkira banyaknya, manakala jumlah ‘seribu’ itu hanyalah contoh yang mewakili suatu jumlah yang amat banyak; disebutkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ bahawa gandaan ini adalah sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as). Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera, sehinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah; ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)


Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat mansia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun, terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini. Iaitu seperti esok harinya tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan bagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana sesebuah Negara berlainan, di Negara barat mungkin sedang mendung kerana musim sejuk, di afrika mungkin sedang terik, maka adakah mereka mala qadar tidak muncul di tempat mereka?. Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, pada malam-malam ganjil. Setengah ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramdhan, manakala Imam An-Nawawi pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu’ 6/450). Berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dan juga hadith Nabi :-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : “ Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam dan dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW dan ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerna beliau telah melihat tandanya dan zaman lain umumnya), sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : “Malam al-Qadar adalah malam yang ke dua puluh tujuh” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : “Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : “ Sebutlah doa “ Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”


Mestikah Mendapat Tanda ?

Sabda Nabi SAW :

"من يقم ليلة القدر فيوافقها.." (رواية لمسلم عن أبي هريرة).

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya…” ( Riwayat Muslim)

Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas. Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda pelik dan sebagainya.

Sekian,

Kuala Lumpur
0 Responses

Post a Comment