Ibnu Hashim

Petang semalam saya ke Pejabat Pelaburan…jumpa si Asrul. Ketika nak balik dia tanya, ”Terawih kat mana?”

Rata-rata orang kini akan bertanyakan terawih, ianya sesuatu yang bagus! Ini menunjukkan bahawa jiwa beribadat itu masih lagi hidup dan diamalkan oleh orang banyak. Namun sekiranya dilihat daripada sudut yang Negatif dan Positif, ianya membawa makna yang berbeza (memanglah kan..aparaa)...ehehehe

Oleh itu, saya nak cuba memberikan kedua dua gambaran itu mengikut apa yang terlintas di hati ini tadinya...dari sudut negatifnya ialah:


Dari Sudut Negatif.

Rata rata kini saya menjumpai orang banyak yang salah meletak priority kepada sesuatu perkara itu (saya sendiri tidak terkecuali). Contohnya dalam pertanyaan si Asrul itu tadi, nampaknya KEUTAMAAN yang dinyatakannya dalam Ramadhan ini dari segi ibadah solat ialah Terawih. Yang ditanyainya dahulu ialah dimana hendak ditunaikan terawih ini?

Mengapa tidak ditanyai ”Di mana nak tunaikan solat solat Fardhu berjemaah?” Bukankah Pahala untuk yang Fardhu itu lebih besar ganjarannya dan lebih berlipat kali gandanya lagi berbanding dengan solat terawih! Nah! Alangkah ruginya kalau kita ke Masjid atas niat hendak mengerjakan Terawih sedangkan yang patutnya diutamakan ialah solat Maghrib dan Isya’nya (dalam kes ini). Pahala sunat ini diberi ganjarannya di Bulan Ramadhan menyamai ibadah Fardhu di bulan bulan yang lainnya..Sedangkan ganjaran pahala untuk ibadah Fardhu di bulan ini digandakan dengan 70 kali lipat ! Malahan pula ianya terserah kepada Allah berapa sahaja banyaknya yang Dia hendak kurniakan...Tiada had!

Alangkah ruginya kita dari segi niatnya pada awal awal pergi ke Masjid itu kalau kita berniat hendak mengerjakan Terawih sedangkan sepatutnya kita niatkan hendak mengerjakan yang Fardhu disamping itu langsung mengerjakan Terawih! Sudah biasa kita dengar dialog seperti ini => ”Nak kemana tu weh?” ”Nak ke Masjid, Berterawih” (Atas silap konsep dan letak keutamaan inilah salah satu sebab malam malam awal Ramadhan itu penuh Masjid seolahnya Solat Jumaat sahaja layaknya - alhamdulillah)...

Dari sudut Positif

Sepertimana yang dinyatakan di atas, ini menunjukkan jiwa beribadat itu masih ada dan keprihatinan akan bulan Ramadhan juga masih ada..alhamdulillah. Kalau kita baca akan kisah kisah para sahabat r.a., kisah para wali, ahli sufi dan para salafussoleh, mereka memang begitu menjaga akan ibadah sunat ini.Yang mereka kejar ialah yang sunat sunat ini sehinggakan ada yang menganggap dia sudah berdosa sekiranya pada ketika itu dia tidak mempunyai wudhuk!

Timbul persoalan ini pula, adakah mereka ini salah meletak priority atau keutamaan beribadat ini? Jawapanya tentulah tidak! Kenapa mereka bertindak demikian itu adalah kerana perkara yang Fardhu, perkara yang wajib itu tak perlu tanyalah pada golongan ini, dah tentu mereka tak tinggal punya! Sekarang mereka berlumba lumba untuk Menambah kepada ibadah Fardhu mereka itu dan oleh itu nampaknya seolah olah mereka mengutamakan yang sunat pula! Sepertimana manusia itu Wajib makan untuk terus hidup, maka begitulah ibadah Fardhu kepada mereka ini, mana mungkin mereka mengenepikan yang Fardhu!

Berdasarkan kedua dua scenario ini, untuk bersangka baik saya menganggap pertanyaan si Asrul itu adalah bersangkutan dengan Scenario yang kedua iaitu yang Positif... InsyaAllah...

Ibnu Hashim

Bismillahirrahmanirrahim,

Tazkirah malam tadi menekankan betapa umat ini terkeliru dengan amal ibadah mereka sendiri. Betapa mereka itu seolah olah menyangkakan bahawa hanya bulan Ramadhanlah bulan untuk mereka beramal ibadat, tidak di bulan lainnya. Imam muda juga menyatakan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang sepatutnya kita mempertingkatkan ibadah kita dan bukannya baru hendak beribadah, baru hendak solat berjemaah di masjid!

Tazkirah seperti inilah yang perlu dibuat dan disebut kepada semua jemaah termasuklah diri ini juga. Tazkirah seperti inilah yang perlu diambil peluang dengan bijak oleh para imam untuk menyampaikan butir butir mutiara kata yang sangat bersangkutan dengan umat ini dan bukannya teks yang telah dirangka dan disediakan oleh orang orang yang langsung tidak mahu melihat Islam ini kembali menyinar seolahnya lantaran atas perbuatan mereka itu.

Tazkirah seperti ini perlu dilazimkan memandangkan ramai jemaah mula membanjiri masjid! MasyaAllah, masjid di tempat aku ni nak parking pun payah...bahagian muslimat pun penuh jugak!

Cuma sayangnya tazkirah dilarang..tiada tazkirah diizinkan (?) untuk diadakan di semua masjid di selangor ini sedangkan tazkirah ini amat amat kita dambakan lantaran ianya juga adalah amal ibadah. Ramadhan juga menyaksikan pertambahan mendadak jemaah di masjid dan peluang ini perlu diambil untuk menyampaikan berita berita terkini untuk diambil manfaatnya oleh semua jemaah, contohnya seperti tazkirah imam muda itu tadi. Ianya bersangkutan dengan suasana tempat dan keadaan umat masa kini yang seolahnya terkeliru dan menyangkakan solat jemaah hanya di bulan Ramadhan..setelah Ramadhan, Masjid, surau kembali sepi..

Tazkirah seperti ini malangnya ditakuti oleh pihak pihak yang berkepentingan dan untuk menjaga ’bos bos’ mereka tanpa mereka sedar yang mereka telah menyekat usaha dakwah yang amat amat dituntut oleh BIG BOSS mereka, Raja segala Raja iaitu Allah azzawajalla... Dalam keadaan umat kini dengan khutbah Jumaatnya yang langsung tak berkaitan dengan keadaan setempat (lantaran ianya disediakan oleh pihak Majlis Agama lalu ianya dibuat secara borong) dengan tajuk yang lansung tak begitu menjadi cabaran utama umat ini masa kini...Lihat sahajalah ketika Israel meratah ummat Islam dan melanggar Lubnan...Tak tahu lah aku kot ada di tempat lain, tapi semua masjid yang Jumaatnya aku hadiri langsung tak sentuh akan perkara ini sedangkan ianya adalah perkara besar yang melanda Umat pada ketika itu!

Alhamdulillah, dengan berani Imam Muda mengambil masa yang amat pendek lebih kurang 10 ke 15 minit sahaja menyampaikan tazkirah tersebut sejurus sebelum Terawih didirikan. Walaupun Masjid kariah aku ini mendirikan solat terawih 20 rakaat...tapi aku mendambakan majlis ilmu....tazkirah yang dibenci oleh pihak pihak yang berkepentingan itu! Aku rindukan Ramadhan di Butterworth yang mana walaupun Terawihnya 8 tapi disulami dengan tazkirah padat setiap hari..pergilah kemana surau pun ada tazkirahnya! Dan sudah sememangnya bukan Ramadhan pun tetap ada majlis ilmunya pada SETIAP HARI. Dan di bulan Ramadhan Tazkirahnya pula berkisar tentang Ramadhan, pengisiannya, ibadah puasa dan apa sahaja yang bersangkutan dengan Ramadhan dan juga perkara perkara semasa. Tentulah majlis ilmunya menjadi lebih fokus lagi di bulan itu. Bagi yang mahu mencukupkan 20 rakaat pula boleh sahaja sambung di rumah... Alangkah indahnya waktu itu....

Namun, perkara yang lepas itu menjadi sejarah, yang penting ialah waktu ini....mana majlis ilmu di bulan Ramadhan ini di Kl ni ya? Pasti ada... cuba tanya tanyakan lagi....

Ibnu Hashim
Inilah dunia ku... teringat ceramah yang pernah disampaikan oleh Ustaz Ismail Kamus..Dunia Yang Menipu...

Klik Sini ...
Ibnu Hashim
Ramadhan datang lagi membawa seribu pengharapan pada Yang Maha Esa.. Aku bersyukur kepada Mu Ya Allah kerana masih memberikan peluang kepada aku hamba mu yang berdosa ini Ya Allah untuk terus hidup di bulan Mulia ini…

Ya…aku masih hidup di kala ini di bulan Ramadhan, namun adakah aku pula akan menghidupkan malam malam Ramadhan ini?

Ya Allah…berilah keampunanMu kepada kami ummat Muhammad s.a.w. ini dan berilah kekuatan untuk kami terus memperjuangkan Addin Mu ini Ya Allah...Sesungguhnya, Engkau tidak memerlukan kami sebesar zarahpun tetapi kami amat amat berhajat dan memerlukan Engkau Ya Allah...Ampunilah kami Ya Allah..berkatilah kami Ya Allah..

Jadikanlah Ramadhan ini lebih baik untuk kami berbanding dengan tahun tahun yang sebelumnya….amin Ya Rabbal Alamin..
Ibnu Hashim
Bercakap tentang kemerdekaan Negara yang baru lagi disambut. Rasanya ada perkara yang masih belum diri ini mendapat kepastian.

Fikiran berkecamuk dan setiap jawapan yang diperolehi masih tidak memuaskan hati ini. Kemerdekaan sesebuah negara itu tidak dapat tidak pasti akan ada nama nama tersohor yang akan diangkat sebagai Wira Negara, Pejuang Agama, Pejuang Bangsa, Pejuang Kemerdekaan bla bla bla...

Para Pejuang inilah yang masih lagi menjadi persoalan kepada sejarah negara ini yang mana satu kah yang benar..yang mana intan, yang mana kaca. Berikut adalah antara yang dimaksudkan:

- Tok Janggut
- Dato’ Bahaman
- Mat Kilau
- Dato’ Maharajalela
- Tok Gajah
- Si Puntum
- Mat Salleh

Mereka yang di atas ini adalah diantara (ramai lagi) yang dinobatkan sebagai Pahlawan dan Pejuang Kemerdekaan (aku setuju). Mereka ini berjuang MENENTANG penjajah Inggeris.

Namun, dalam pada itu, banyak dipertontonkan kepada umum betapa perjuangan menentang Komunis itu yang diperbesarkan...TV selalu menunjukkannya dan kisah kisah perjuangan menentang komunis..Bila pulak Komunis jajah Tanah Melayu??.

Bukan lah aku tak senang dengan itu, tapi tajuknya ialah KEMERDEKAAN...Merdeka daripada Sapa? Tentulah MERDEKA daripada INGGERIS!!! Sebab Inggeris itulah PENJAJAH. Mana dia kisah kisah penentangan kepada Inggeris?? Malayan Union? Itu menentang gagasan yang dibuat Inggeris, bukan menentang Inggeris dalam erti kata sebenar!

Kita diperkenalkan pula dengan pahlawan-pahlawan yang berjuang dengan Inggeris sebagai Hero kita pula? Seperti Lt Adnan (tidak dinafikan keperwiraannya Cuma tajuk ini ialah MERDEKA) dia berjuang dengan Inggeris! Dia berjuang menentang siapa? Menentang Jepun...Mungkin ada ampunnya sebab Jepun lagi ganaih. Tapi kena ingat, dia berjuang mempertahankan kerajaan Inggeris yang mahu terus berkuasa di Tanah Melayu ini.

Tapi kenapa kepada nama-nama yang tersebut di atas sekali yang jelas berjuang menentang PENJAJAH tak diceritakan dengan lebih jelas?

Mereka inilah yang menggadai nyawa mereka menentang Inggeris – Penjajah Tanah Melayu – Bukan Komunis! Komunis juga menentang Inggeris. Maknanya di sini ialah MERDEKA daripada INGGERIS...sekali lagi aku tanya, masa bila pulak Komunis jajah Tanah Melayu?? (jangan silap, aku anti Komunis!)

So, Mat Kilau menentang Inggeris = Pahlawan.
Lt Adnan berperang dibwh Inggeris = Pahlawan jugak.

Ditakdirkanlah, bertembung keduanya di medan pertempuran, antara Lt Adnan dgn Mat Kilau...Sapa lak yang jadi Heronya di sini???


Itu pasal Aku Keliru!! Takkan dua dua pihak yang berlawan tu dua duanya Pahlawan? Berperang di Pihak Penjajah pun Pahlawan, berperang di pihak lawan Penjajah pun Pahlawan?? Ke awai awai dulu dah tersilap perhitungan menerima pakai Mat Kilau tu contohnya sebagai Penderhaka sebab nak menang rundingan dgn Inggeris dulu? Sebab memang pasca kemerdekaan dulu mereka ini dicop Penderhaka dan orang politik seperti Dato Burhanuddin Helmi itu dicop sebagai pihak berhaluan kiri – sebab menentang Inggeris. Atas kesedaran sejarahwan negaralah yang kemudiannya menobatkan mereka itu Pahlawan negara menentang Inggeris, namun ketika itu juga telahpun dinobatkan orang orang spt Lt Adnan itu Pahlawan jugak. Takkan nak padam, so dibiarkan dua duanya jadi Pahlawan...gitu le kot?

Aku idaklah anti kepada Lt Adnan tu...beliau berapa di zamannya dan dia berjuang mengikut apa yang sesuai pada ketika itu. Aku berdoa agar ianya diterima Allah, niatnya Allah sahaja yang tahu... Cumanya aku ni anak selepas merdeka Keliru..itu jer..

Sejarah ni dah berlaku, sejarah adalah ibarat 1+1 = 2, ianya takkan menjadi 3. So kalau sejarah sudah di tukar, altered, modified, maka berlakulah kekeliruan ini... bercampur baur antara yang hak dan yang batil.
So sekarang ni baru nampak? Ke apa ker? Ah...Entah lah..ntahapahapantah...sampai sekarang aku keliru..Keliru...Aku tulih pun ntahapahapantah..menunjukkan yang aku masih keliru...
Ibnu Hashim
Ibnu Hashim
Merdeka telah berlalu, nampaknya, Merdeka tahun ini memberikan makna kepada diriku…sebab…pada hari itu, daku jua merdeka mengikut caraku sebagai anak pasca Merdeka, tanggal 31 Ogos, aku merdeka daripada masuk Pejabat!

Bermulanya hari hari baru ku yang mendatang….semoga segala perancanganku mendapat RedhaNya dan dimakbulkanNya insyaAllah.

Aku mula habiskan baki cuti tahunanku..81 hari!